Thursday, September 23, 2010

Mus'ab Bin Umair

بسم الله الرحمن الرحيم

*Salamu llahi 3alaikum*

Syukur alhamdulillah kerana dipanjangkan umur, dapat juga mengupdatekan blog yg agak lama tak di update hehehe (betul ke dah lama?) (^_~)...

Di  sini aku tertarik dngan satu kisah, kisah tentang sahabat Rasulullah..Mungkin tak ramai yang tau tentang kehidupan sahabat ini dan apa pengorbanan yang telah dia lakukan untuk Islam..

Ini adalah Kisah sahabat Rasulullah yang bernama Mus'ab Bin Umair : 


Mus'ab Bin Umair terkenal sebagai orang yang berperawakan lemah lembut, suka berpakaian kemas, mahal dan indah. Malah dia selalu berlawan dengan kawan-kawannya untuk berpakaian sedemikian. Keadaan dirinya yang mewah dan rupanya yang kacak menyebabkan Mus'ab menjadi kegilaan gadis di Makkah. Mereka sentiasa berangan-angan untuk menjadi isterinya.

Mus'ab sebenarnya adalah anak yang paling disayangi ibunya berbanding adik-beradiknya yang lain. Apa sahaja permintaannya tidak pernah ditolak. Oleh itu tidaklah menghairankan apabila ibunya begitu marah selepas mendapat tahu Mus'ab telah memeluk Islam.

Ibu dan ayahnya telah mengurung dan menyiksa Mus'ab selama beberapa hari dengan harapan dia akan meninggalkan Islam. Bagaimanapun tindakan itu tidak sedikit pn melemahkan keyakinannya. Pujukan dan ancaman ibunya tidak berkesan. Mereka sudah habis ikhtiar lalu membebaskannya buat sementara.

Tindakan ibunya tidak sedikit pun menimbulkan rasa takut pada Mus'ab. Sebaliknya dia tidak jemu-jemu memujuk ibunya memeluk islam kerana kasih pada ibunya. Mus'ab membuat pelbagai ikhtiar tetapi semua tindakannya hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian ibunya.

Pada suatu hari Mus'ab melihat ibunya dalam keadaan pucat, dia pun bertanyakan sebabnya. Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahawa dia tidak akan makan dan minum sehingga Mus'ab meninggalkan agama Islamnya.

Cuba bayangkan bagaimana jika kamu berada di tempat Mus'ab ketika itu, berhadapan dengan ibu yang  hanya hampir tinggal nyawa-nyawa ikan? Apakah jawapan kamu? tergamakkah kamu membiarkan ibu kamu terlantar begitu? Atau apakah ada jawapan lain yang lebih menggembirakan?. Ini adalah jawapan Mus'ab kepada ibunya : "Andai kata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali."

Apa lagi, lemahlah si ibu mendengar jawapan dari si anak. Dengan jawapan tersebut juga Mus'ab dihalau daripada rumah ibunya. Tinggallah mus'ab bersama-sama Rasulullah dan sahabat-sahabat yang sangat daif ketika itu.

Untuk meneruskan kehidupannya, Mus'ab berusaha sendiri bekerja mencari nafkah dengan menjual kayu api. Apabila sampai berita ini kepada ibunya, dia merasa amat marah dan malu kerana kebangsawanannya telah dicemari oleh Mus'ab. Adik-beradik Mus'ab juga sering menemui dan memujuknya supaya kembali menyembah berhala. Tetapi Mus'ab tetap mempertahankan keimanannya.

Sewaktu ancaman dan seksaan kaum Quraisy ke atas kaum Muslimin menjadi-jadi. Rasulullah telah mengarahkan supaya sebahagian sahabat berhijrah ke Habsyah. Mus'ab turut bersama-sama rombongan tersebut. Sekembalinya dari Habasyah, keadaan beliau semakin berubah. Kurus kering dan berpakaian compang-camping. Keadaan itu menimbulkan rasa sedih di dalam hati Rasulullah. Kata-kata Rasulullah mengenai Mus'ab sering disebut-sebut oleh sahabat : "Segala puji bagi Allah yang telah menukarkan dunia dengan penduduknya. Sesungguhnya dahulu aku melihat Mus'ab seorang pemuda yang hidup mewah ditengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan itu semua kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya."

Apabila ibu Mus'ab mendapat tahu mengenai kepulangannya, dia memujuk anaknya supaya kembali kepada berhala. Dia mengutuskan al-Rum adik kepada Mus'ab untuk memujuknya. Namun Mus'ab tetap dengan pendiriannya. Bagaimanapun tanpa pengetahuan ibunya, al-Rum juga sudah memeluk Islam tetapi dia merahsiakannya. Sewaktu berlaku peperangan Uhud, Mus'ab ditugaskan memegang panji-panji Islam. Peringkat kedua peperangan telah menyebabkan kekalahan di pihak tentera Muslimin. Tetapi Mus'ab tetap tidak berganjak dari tempatnya dan menyeru : "Muhammad adalah Rasul, dan sebelumnya telah banyak diutuskan Rasul".

Ketika itu, seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamiah menyerbu ke arah Mus'ab dan melibas tangan kanannya yang memegang panji-panji Islam. Mus'ab menyambut panji-panji itu dan memegang dengan tangan kirinya sambil mengulang-ulang laungan tadi. Laungan itu menyebabkan Ibn Qamiah bertambah marah dan menetak tangan kirinya pula. Mus'ab terus menyambut dan memeluk panji-panji itu dengan kedua-dua lengannya yang kudung. Akhirnya Ibn Qamiah menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Mus'ab sebagai syuhada' Uhud.

Abu al-Rum, Amir Ibn Rabiah dan Suwaibit Ibn Saad telah berusaha mendapatkan panji-panji tersebut dari jatuh ke bumi. Abu Rum telah berjaya merebutnya dan menyaksikan sendiri syahidnya Mus'ab. Abu Rum tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya. Tangisannya memenuhi sekitar bukit Uhud.  Ketika hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup mayat Mus'ab. Keadaan itu menyebabkan Rasulullah tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran airmata nya. Keadaanya di gambarkan dengan kata-kata yang sangat masyhur : "Apabila ditarik ke atas, bahagian kakinya terbuka. apabila ditarik ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun kayu".

Demikianlah kisah kekuatan peribadi sorang hamba Allah dalam mempertahankan kebenaran dan kesucian Islam. Beliau jugalah yang merupakan pemuda dakwah yang pertama mengetuk pintu setiap rumah di Madinah sebelum berlakunya hijrah. Kisahnya mempamirkan usaha dan pengorbananya yang tinggi untuk menegakkan kebenaran. Semua itu adalah hasil proses tarbiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah.

Mus'ab telah menjadi saksi kepada kita akan ketegasan mempertahankan aqidah yang tidak berbelah bahagi terhadap Islam sekalipun teruji antara kasih sayang ibunya dengan keimanan. Mus'ab lebih mengutamakan kehidupan Islam yang serba sederhana dan kekurangan berbanding darjat dan kehidupan yang mewah. Dia telah menghabiskan umurnya untuk Islam, meninggalkan kehebatan dunia, berhijrah zahir dan batin untuk mengambil kehebatan ukhrawi yang sejati sebagai bekalan kehidupan dalam perjuangan yang tidak pernah padam.

Adakah kita sudah mendapat tarbiyah yang secukupnya? bolehkah kita menjadi seperti Mus'ab Bin Umair yang sanggup meninggalkan segala kemewahan dunia  untuk mendapatkan kemewahan ukhrawi?
renung-renungkanlah dan jadikan kisah sahabat ini sebagai contoh. Berusahalah untuk menjadi yang terbaik untk agama (^_^)

*Wallahu a'lam*



      

No comments:

Post a Comment